ALOR SETAR: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing susulan penemuan mayat dua beranak di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisoner Siti Nor Salawati Saad berkata, suspek berusia 43 tahun itu diberkas di sebuah masjid di Bukit Pinang, kira-kira pukul 9 malam tadi.
Menurut beliau, terdapat kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa warga asing berusia 34 dan 10 tahun itu yang merupakan isteri dan anak kepada suspek.
“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar telah menerima panggilan telefon daripada orang awam pada pukul 5.04 petang yang memberitahu telah menjumpai sepasang mayat wanita.
“Siasatan mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain dalam longkang kecil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan dua mayat wanita ditemukan dalam sebuah longkang di belakang bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini petang semalam.
Siti Nor Salawati berkata, polis masih melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar esok bagi tujuan permohonan reman untuk meneruskan siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.
“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.
“Individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Setar, Asisten Superintenden Faizul Izuan Harun di talian 04-7747222.
Mayat kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat. -UTUSAN










