TAMPIN: Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan khususnya kupang di perairan Negeri Sembilan dan Melaka yang sebelum ini dikuatkuasakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia telah ditarik balik.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan itu dibuat berikutan bacaan biotoksin bagi sampel ke-15 telah menunjukkan penurunan ke paras selamat iaitu di bawah 400 per bilion (ppb)
“Oleh itu aktiviti ini boleh diteruskan seperti biasa bermula sekarang. Asal sahaja sampel menunjukkan kadar ppb yang selamat, kita tiada larangan untuk apa cara dan kaedah mereka untuk menuai kerang-kerangan ini.
“Sampel seterusnya akan diambil untuk tujuan pemantauan kerana keselamatan makanan itu sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan kerajaan. Sekiranya biotoksin itu meningkat kita akan melaksanakan semula larangan tersebut demi keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pesta Mengoca myKP Sungai Jerneh dan Demonstrasi Masakan Rasa-Rasa Akuakultur di Estet Ikan Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain.
Pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan Malaysia mengesahkan kupang di Port Dickson telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan selepas analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
Jabatan tersebut justeru menyarankan kupang dan kerang-kerangan lain di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan mengambil tindakan penguatkuasaan tidak membenarkan kerang-kerangan di Port Dickson dikeluar dan dijual di pasaran awam.
Analisis tersebut dibuat selepas terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.
Kes keracunan makanan dipercayai berkaitan kupang juga dilaporkan berlaku di Melaka pada 8 Jun lalu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Arthur berkata, industri akuakultur negara perlu diperkukuh agar lebih berdaya maju dan mampu menampung keperluan sumber protein khususnya daripada industri perikanan air tawar.
“Di Negeri Sembilan, akuakultur merupakan penyumbang terbesar pengeluaran perikanan negeri iaitu 90.78 peratus (5,587.4 tan metrik) pengeluaran ikan secara keseluruhan dengan nilai RM73.8 juta bagi tahun 2023,” katanya.-UTUSAN.









