Kuat kuasa segera Akta Keselamatan Siber 2024

Kuat kuasa segera Akta Keselamatan Siber 2024

Akta Keselamatan Siber penting bagi mengekang penyebaran ideologi radikal menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan mewarta dan menguatkuasakan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, pewartaan dan penguatkuasaan RUU itu penting bagi mengekang penyebaran ideologi radikal menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh kelompok subversif yang boleh mengancam keselamatan siber dan fizikal di negara ini.

“Usaha memerangi dan mengawal kes ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan dan anggota keselamatan negara, tetapi, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, institusi perbankan dan orang awam perlu memainkan peranan masing-masing.

“AI boleh buat apa sahaja, boleh dijadikan alamat penyamaran seseorang, mengubah suara individu dan meniru laman web institusi perbankan negara, malah boleh menjana teks khusus bagi mempengaruhi golongan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 Mac lalu, media melaporkan pewartaan tarikh kuat kuasa Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 dijadual dilaksana pada suku ketiga tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pewartaan tarikh kuat kuasa RUU itu hanya boleh dibuat selepas proses penggubalan peraturan siap dan draf diluluskan Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, Agensi Keselamatan Siber Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara (NACSA) sudah mengenal pasti dan sedang menyediakan draf empat peraturan.

Mengulas lanjut, Ayub menggesa kerajaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dikemaskini dan ditambah baik selari dengan peredaran zaman serta kemajuan teknologi semasa.

Pihaknya menyokong penuh inisiatif digerakkan Kementerian Digital dalam membangunkan penambahbaikan garis panduan Etika dan Tadbir Urus AI (AIGE) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi libat urus dengan badan antarabangsa termasuk Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Selain itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mempersiapkan diri dari aspek kemahiran dan peralatan moden berasaskan AI dalam usaha memerangi jenayah digital.

“Oleh itu, dasar infrastruktur dan infostruktur (undang-undang) perlu dikemaskini selari dengan kemajuan AI,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN