KSN baharu mesti boleh rasai denyut nadi penjawat awam - Cuepacs

KSN baharu mesti boleh rasai denyut nadi penjawat awam – Cuepacs

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs) menyeru pemilihan Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali perlu bersandarkan prinsip-prinsip Madani.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pengganti yang akan mengemudi bahtera jawatan tertinggi dalam sektor penjawat awam itu mesti mempunyai peranan dan tugas yang cukup besar bagi memastikan momentum dan iltizam penjawat awam terus berada pada landasan yang tepat.

Sehubungan itu, menurut beliau, Cuepacs berharap calon yang bakal dipilih dapat merasai denyut nadi penjawat awam dan boleh meletakkan aspek kebersamaan serta kesepaduan demi merintis sebuah perkhidmatan awam lebih gemilang.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim peranan KSN merupakan susuk individu yang mampu menjadi pendamping dan tonggak penting dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran negara khususnya Perdana Menteri,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, kontrak Mohd Zuki sebagai KSN selama dua tahun yang akan berakhir pada Sabtu ini, tidak akan disambung.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, Mohd Zuki akan diberikan tugasan penting lain bagi membantu kerajaan, namun tidak memperincikannya.

Sementara itu, Adnan berkata, Cuepacs akan terus memberi kerjasama dan memainkan peranan sebagai entiti semak dan imbang bagi memastikan kebajikan serta peranan penjawat awam terus terpelihara.

“Mantra ‘berkhidmat untuk negara’ akan terus dipegang erat bagi meletakkan kepercayaan rakyat, pemimpin dan negara kepada produktiviti penjawat awam berada pada tahap yang paling tinggi demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN