KPDN periksa premis restoran caj harga nasi goreng sardin berbeza

KPDN periksa premis restoran caj harga nasi goreng sardin berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri dekat sini yang didakwa mengenakan harga berbeza pada menu sama menerusi gambar resit yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Menerusi gambar yang tular menunjukkan dua resit sebuah restoran yang mengenakan caj berbeza bagi nasi goreng sardin.

KPDN dalam kenyataan berkata, pihaknya menggerakkan sepasukan anggota terhadap maklumat aduan melibatkan hantaran di media sosial mengenai dua resit pembelian nasi goreng sardin yang dibeli daripada sebuah restoran dalam tempoh masa sehari.

Katanya, pihak penguat kuasa KPDN telah mengadakan perjumpaan bersama penyelia restoran untuk membantu siasatan tentang maklumat harga seperti yang dilaporkan.

“Menerusi pemeriksaan tanda harga pada buku menu di restoran tersebut mendapati harga bagi nasi goreng sardin ialah RM9.00, manakala caj RM0.30 bagi bungkusan dinyatakan dengan jelas dalam menu untuk makluman pelanggan.

“Manakala untuk pesanan dan makan di restoran, tiada caj lain dikenakan kecuali harga makanan sahaja termasuk tambahan caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus.

“Notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat terhadap justifikasi perbezaan harga pada kedua-dua resit tersebut telah diserahkan kepada penyelia restoran untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak restoran telah diberi amaran keras untuk sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak keliru, mematuhi undang undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.

“Pihak restoran memohon maaf atas isu yang berlaku dan bersedia untuk menghubungi pengadu bagi membuat penjelasan atau sebarang perkara yang berbangkit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN