PETALING JAYA: Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (Hartal) membidas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana gagal mematuhi peraturan yang dilaksanakan berhubung cuti bersalin sekurang-kurangnya 14 minggu.
Jurucakapnya berkata, kegagalan itu dianggap mengabaikan pengorbanan golongan profesional selain menghina pekerja kaum wanita di samping bertentangan dengan piawaian Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).
“Tindakan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat jauh daripada piawaian ILO, menonjolkan ketidakselarasan yang serius dengan norma buruh antarabangsa.
“Sangat hipokrit apabila kerajaan menetapkan 98 hari cuti bersalin bergaji untuk sektor swasta tetapi gagal menegakkan piawaian yang sama di institusi sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat menggesa KKM menyelesaikan segera masalah kekurangan petugas kesihatan di fasiliti kerajaan.
Mengulas lanjut, jurucakap Hartal berkata, maklum balas Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin juga menunjukkan kekurangan empati dan kemanusiaan sebagai seorang wanita.
Katanya, walaupun cabaran itu diakui, sebagai pemimpin, beliau sepatutnya lebih peka dengan memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin.
“Walaupun cabaran operasi ini diakui, ia tidak membenarkan pengurangan cuti bersalin yang drastik kerana hak asas penting untuk kesihatan dan kesejahteraan ibu dan bayi.
“Dasar yang pendek akal dan buruk ini adalah sebab mengapa pegawai perubatan menolak jawatan kerajaan dan terus keluar daripada perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, isu dihadapi PKD Hulu Langat itu merupakan tanda awal kekurangan kakitangan di KKM walaupun dengan penambahan 20,000 kakitangan bermula 2018.
Katanya, bagi mengatasi masalah itu, KKM perlu mengkaji semula keperluan jumlah kakitangan kerana ia akan menjadi penentu kepada mutu perkhidmatan kesihatan negara.
“Walaupun penambahan seramai 20,000 sepanjang lima tahun, tetapi masih tidak mencukupi.
“Perlu kaji semula keperluan jumlah kakitangaan, khusus doktor dan pakar, untuk memberi mutu perkhidmatan jagaan kesihatan yang baik,” katanya.
Boon Chye berkata, pengurangan cuti bersalin juga memerlukan persetujuan pegawai perubatan terlibat bagi memastikan hak asasi pekerja terjamin.
Katanya, ia bagi memastikan persetujuan dapat dicapai sekali gus memberikan kebebasan untuk menentukan tempoh cuti antara 60 sehingga 90 hari seperti yang diperuntukkan.
“Cuti bersalin melebihi 60 hari mungkin menjejaskan mutu perkhidmatan, namun secara prinsip, ketetapan cuti bersalin kurang daripada 90 hari memerlukan persetujuan kakitangan yang terlibat.
“Tempoh maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari dan pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh itu,” katanya kepada Utusan Malaysia. –UTUSAN










