PETALING JAYA: Rakyat tidak perlu gusar dan takut kerana keselamatan negara terjamin di sebalik pelbagai insiden rusuhan dan serangan yang berlaku di seluruh dunia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan keadaan huru hara seperti rusuhan kaum di United Kingdom (UK), serangan di Iran, protes di Bangladesh selain pembunuhan ke atas Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh tidak merebak ke negara ini.
Katanya, PDRM bersiap siaga mengerakkan semua elemen keselamatan bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan melakukan serangan secara fizikal atau secara maya.
Kata beliau, serangan secara fizikal berlaku dengan cara kemasukan individu atau ejen ke dalam negara ini dengan membuat penyamaran sebagai golongan profesional seperti ahli perniagaan sebelum melakukan pembunuhan kepada sasaran tertentu.
Razarudin berkata, ejen-ejen upahan ini juga berkemungkinan menggunakan bantuan orang tempatan dalam melaksanakan misi-misi tertentu mereka.
“Contoh yang kita boleh lihat seperti penahanan warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang Mac lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razarudin berkata, PDRM juga akan mempergiatkan risikan sekiranya terdapat perancangan sabotaj kepada sistem ekonomi negara dan pemimpin tertentu susulan ketegasan dalam menyuarakan isu melibatkan Palestin ini.
Jelas beliau, sabotaj-sabatoj ini termasuk penggodamam ke atas sistem kerajaan dan intitusi kewangan sekali gus boleh melumpuhkan sistem organisasi berkenaan.
“Pemantauan secara berterusan akan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi memastikan tiada cubaan serangan seumpama ini.
“Selain itu, PDRM menerusi Cawangan Khas (SB) juga akan melipat gandakan risikan bagi memastikan tiada mana-mana pihak cuba menyebar ideologi tertentu untuk mengajak orang ramai melakukan rusuhan di negara ini,” jelasnya.
Razarudin berkata, secara keseluruhanya, pemantauan turut diperkemas dan dipertingkat di seluruh pintu masuk negara dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi.
“Setakat ini, kita (PDRM) mempunyai 151 pos kawalan di sempadan negara manakala 144 pos lagi di bawah kawalan ATM.
“Justeru itu, orang ramai tidak perlu gusar terhadap soal keselamatan negara. Perpaduan diantara semua pihak amat penting dalam memastikan ketenteraman awam terjamin,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sebagai peristiwa sangat tragik dan kejam.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan terbabit sambil menuntut keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis bagi menghentikan pembantaian, khususnya di Gaza.
Pada 4 Ogos lalu, ribuan rakyat Malaysia bersolidariti serta memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin menerusi Himpunan Pembebasan Palestin.
Himpunan seumpama itu adalah kali kedua dilakukan di Stadium Axiata Arena kerana ingin menghantar mesej yang kuat kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan kekejaman berterusan rejim Zionis. – UTUSAN










