Kenaikan gaji penjawat awam, rangsang ekonomi Malaysia

Kenaikan gaji penjawat awam, rangsang ekonomi Malaysia

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelarasan gaji penjawat awam dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam sektor hartanah dan runcit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, beliau percaya pelarasan gaji yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi impak berganda kepada pasaran.

“Peningkatan dalam tahap pendapatan penjawat awam dijangka merangsang perbelanjaan domestik. Ini mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk PKS, terutama bagi mereka dalam sektor hartanah dan runcit, menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Saya percaya pelarasan gaji tidak lama lagi, yang akan diumumkan oleh Datuk Seri Anwar memberi impak berbilion ringgit dalam perbelanjaan dan menjana kesan berganda kepada pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kor Ming, Kerajaan Madani juga terus memantau trend pembangunan ekonomi dan komited memupuk pertumbuhan ekonomi yang komprehensif serta mampan menerusi pelbagai langkah dasar bagi memastikan semua sektor dan industri mendapat manfaat daripada kemakmuran ekonomi.

Anwar dijangka membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya esok.

Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin berkata pengumuman itu dijangka menarik perhatian ramai khususnya dalam kalangan penjawat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN