MELAKA: Ahli keluarga Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang mayatnya ditemukan di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dekat sini, pada 31 Disember 2023, menerima jenazah Allahyarhamah dengan reda, walaupun keadaan arwah tidak sempurna.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Ashari Abu Samah berkata, suami, ibu dan bapa mangsa dibawa melihat jenazah di Jabatan Forensik Hospital Melaka semalam sebelum dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan.
Menurut beliau, sebelum penyerahan, ahli keluarga dipanggil oleh pegawai perubatan untuk diberi penerangan mengenai keadaan jenazah yang tidak sempurna.
“Waris dapat terima seadanya keadaan jenazah setelah diterangkan oleh doktor, walaupun ibu arwah sebak dan menitiskan air mata. Jadi semua proses berjalan dengan lancar dan selebihnya kita serahkan kepada keluarga untuk tentukan.
“Ada beberapa anggota badan belum ditemukan. Jadi bukanlah sempurna jenazah ini yang ditemui pada peringkat awal dan peringkat kedua sahaja yang diserahkan kepada ahli keluarga arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana pilu menyelubungi pekarangan jabatan forensik dengan kehadiran waris mangsa dari Kelantan dan Kota Masai, Johor sejak pukul 10.30 pagi.
Jenazah dimandikan dan dikafankan di Hospital Melaka selepas proses tuntutan selesai dilakukan.
Kira-kira pukul 2.10 petang, van jenazah meninggalkan pekarangan jabatan forensik menuju ke Kampung Kubang Badak, Pasir Mas untuk dikebumikan.
Sementara itu, di Mahkamah majistret di sini seorang pelabur mata wang didakwa bagi pertuduhan membunuh seorang guru wanita pada Disember lalu.
Mohd. Fadzly Ariffadzilah, 36, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh terhadap Istiqomah Ahmad Rozi, 32, di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah jaminan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.
Beliau juga memohon tarikh baharu untuk serahan laporan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 22 Oktober ini bagi serahan laporan DNA serta bedah siasat. – UTUSAN










