Kedai Kopi Tai Tong berusia 70 tahun simbol perpaduan

Kedai Kopi Tai Tong berusia 70 tahun simbol perpaduan

KEDAI kopi dalam sebuah rumah kedai lama berusia lebih 70 tahun menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum di Kedai Kopi Tai Tong di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seawal pukul 7 pagi, kedai kopi dalam sebuah rumah kedai lama berusia lebih 70 tahun di Jalan Sekolah Derma di sini sudah dipenuhi orang ramai untuk bersarapan.

Istimewanya, kedai kopi itu menjadi tumpuan pelanggan daripada pelbagai kaum khususnya Melayu, Cina dan India yang makan, minum dan berbual bersama sekali gus menghidupkan semangat perpaduan yang kuat.

Malah, melihat masyarakat pelbagai kaum dan lapisan peringkat umur minum dan berbual bersama di sebuah meja di kedai tersebut sudah menjadi perkara biasa.

Di Perlis, tidak keterlaluan dikatakan kedai berkenaan menjadi simbol perpaduan dengan berkumpulnya semua kaum di situ dan suasana seperti itu sudah berlaku sejak sekian lama.

Uniknya lagi, selain keenakan rasa kopinya, kedai berkenaan juga menyajikan makanan tradisi pelbagai kaum di situ seperti nasi lemak, pelbagai jenis kuih muih, tosei, capati, vadai, idili, apong manis dan pelbagai lagi.

SALAH seorang peniaga menyediakan makanan tradisi India untuk para pelanggan pelbagai kaum di Kedai Kopi Tai Tong di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Seorang peniaga di situ, Mugam Muniandy, 52, berkata, dia berniaga dengan menyediakan makanan tradisi masyarakat India di kedai kopi tersebut sejak lapan tahun lalu.

Katanya, kedai kopi tersebut adalah simbol perpaduan kerana menjadi tempat berkumpul semua bangsa khususnya Melayu, Cina dan India dalam suasana perpaduan yang kuat.

Malah katanya, meskipun dia menyediakan makanan tradisi masyarakat India, lebih 60 peratus pelanggannya adalah Melayu.

“Di sini boleh dikatakan kedai pelbagai kaum, semua kaum ada di sini. Sejak awal pagi kedai ini sudah dipenuhi orang ramai untuk bersarapan. Melihat suasana di sini, terasa begitu indahnya semangat perpaduan.

“Saya juga sentiasa berharap agar semua kaum di negara ini sentiasa bersatu padu dan tidak berpecah belah kerana kita umpama sebuah keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pemilik kedai tersebut, Lim Peng Chuan, 64, pula berkata, pelanggannya yang terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan kaum sentiasa memenuhi kedai yang dibuka seawal pukul 7 pagi itu.

Dia yang merupakan generasi kedua kedai itu berkata, lazimnya di sebuah meja semua kaum ada yang rancak berbual sambil menikmati makanan dan minuman di sini.

Katanya, makanan yang dijual di sini juga menampilkan cita rasa pelbagai kaum seperti nasi lemak, roti, tosei, telur dan banyak lagi.

“Di sini, dapat dilihat suasana di mana semua masyarakat pelbagai kaum berkumpul bersama. Suasana perpaduan sangat kuat di sini sejak sekian lama. Di sini juga kita akan melihat kehormonian pelbagai kaum.

“Suasana seperti itu antara keunikan di kedai ini dan ia terus kekal sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Budin Hashim, 53, berkata, dia bersama beberapa orang rakan setiap hari akan singgah untuk bersarapan pagi sebelum pergi kerja.

Katanya, jika ingin melihat semangat keharmonian pelbagai kaum, kedai tersebut boleh dijadikan contoh dan sentiasa menjadi tumpuan semua lapisan masyarakat.

Seorang lagi pelanggan, Robert Lee, 35, berkata, dia bersama rakan-rakan daripada pelbagai kaum sering datang bersarapan bersama di sini.

“Di sini menjadi kelaziman kami berkumpul sekali gus menguatkan semangat perpaduan yang dilihat semakin pudar kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN