Kanun tanah negara perlu disemak – PM

Kanun tanah negara perlu disemak – PM

ANWAR Ibrahim menyantuni jemaah ketika hadir menunaikan solat jumaat di Kompleks Balai Islam TNB, Bangsar, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kanun ­ta­nah negara perlu disemak atau di­te­liti semula berikutan keputusan mahkamah mengarahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Mukim Batu, Jalan Duta kepada Semantan Estate Sdn. Bhd. (SESB).

Semakan itu bagi mengelak im­plikasi buruk kepada negara pa­da masa akan datang jika un­dang-undang sedia ada terus di­gu­nakan untuk mengambil se­mu­la tanah-tanah rakyat yang da­hulu diambil sejak merdeka untuk tujuan kerajaan oleh sektor swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri An­war Ibrahim berkata, keraja­an patuh dengan keputusan mah­kamah serta berpendapat ha­kim berkemungkinan tertak­luk kepa­da undang-undang yang ada da­lam memutuskan perkara itu.

“Tanah itu diambil untuk ke­mudahan awam, badan kerajaan dan sebagainya, bukan untuk swasta. Tetapi hakim mungkin tertakluk undang-undang yang ada.

“Jadi, saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri untuk melihat semula undang-undang ini kerana kalau prinsip ini digunakan, bagaimana de­ngan tanah-tanah rakyat yang dahulu diambil sejak merdeka untuk tujuan kerajaan kemudian diambil alih oleh sektor swasta?

“Atau sektor swasta yang membeli tanah pertanian kemudian minggu-minggu berikutnya tukar ke tanah industri, jadi, orang jual harganya sangat rendah dan dapat sangat tinggi.

“Kalau semuanya guna kaedah prinsip yang ada sekarang yang diputuskan mahkamah, akan huru-hara negara. Jadi, itu sebab mengapa kita harus meneliti semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Surat Pekeliling Am Bil. 5 2024 Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, semalam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengarahkan kerajaan menyerahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate yang merupakan pemilik asal lokasi itu.

Tanah itu meliputi sebahagian Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta yang turut menempatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Stadium Hoki Jalan Duta dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Sementara itu, kerajaan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Selain itu, Anwar juga turut meminta pengurusan badan berkanun serta agensi kerajaan meneliti semula matlamat penubuhan masing-masing dalam usaha meningkatkan manfaat kepada rakyat.

Katanya, isu tatakelola tidak boleh diremehkan dan ia selari dengan prinsip Malaysia Madani.

Justeru, katanya, tonggak sesebuah negara itu adalah isu governans atau tatakelola, maka perlu usaha memperbaiki prestasi tahap kecekapan sesempurna mungkin dari peringkat atas hingga bawah.

“Saya menggesa pimpinan untuk melihat semula matlamat agensi, pengalaman lalu dan bagaimana boleh tingkatkan tahap supaya faedah itu sampai terus kepada rakyat yang harus mendapat faedah.

“Balik dengan pengurusan utama lihat semula fokus apa, mengapa ditubuhkan dan berapa sebenarnya perbelanjaan untuk pengurusan dan kesan kepada rakyat terlibat, kemudian berapa banyak keputusan-keputusan yang sangat merugikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Tesla Inc (Tesla) membatalkan rancangan pengeluarannya di Asia Tenggara, Anwar berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mendapatkan maklumat terkini berhubung tindakan Tesla itu.

“Tengku Zafrul akan dapatkan maklumat terkini kerana mereka mengalami kerugian tidak dapat bersaing dengan (industri) kenderaan elektrik (EV) China, jadi operasi di Thailand besar (dan) kita baru nak mula,” katanya.

Sebelum ini portal Thailand melaporkan pembatalan rancangan untuk membangunkan kilang pembuatan EV di Thailand dan akan memberi tumpuan semata-mata kepada stesen pengecasan pantas.

Keputusan itu dilapor susulan pemberhentian pasukan eksekutif Tesla yang melawat Thailand pada November-Disember. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN