KEMAMAN : Lima mangsa yang terselamat dalam insiden bot karam yang dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman, pagi tadi, berpaut pada dua tong ikan hampir dua jam, sebelum diselamatkan sebuah bot nelayan.
Menceritakan detik cemasnya mangsa, Rosnawi Harun, 50, berkata, dia hanya menyedari bot yang dinaikinya bersama enam lagi pemancing dan dua tekong dilanggar selepas terdengar bunyi dentuman kuat.
“Ketika itu saya sedang tidur dan tak sedar apa yang berlaku. Saya hanya sedar bot dah terbalik dan kemudian karam.
“Saya dan pemancing lain bertahan dengan memegang dua tong ikan dan ketika itu saya fikir kami semua akan mati sebab kami berpaut dah terlalu lama dengan ombak juga kuat,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Jeti Haji Pa, Kuala Kemaman, di sini, hari ini.
Rosnawi berkata, selain berpaut pada tong ikan, dia turut memegang pemancing yang meninggal dunia, Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang merupakan rakan anak saudaranya.
“Pada awalnya saya tarik Siti Zamimah sebab saya tengok dia tak boleh berenang, saya pegang dia erat dan saya lihat dia semakin tidak bermaya dan kemudiannya terus mendiamkan diri. Ketika itu memang saya dah rasa dia telah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, anak saudara Rosnawi, Ain Farhana Mohd. Husani, 30, berkata, dia menyertai trip mencandat sotong dan memancing itu bersama ibunya, Haziah Harun, 63, dan adiknya, Aina husna, 25.
“Ketika saya sedar, bot sudah mulai tenggelam dan saya cuba mencari laluan keluar. Saya dah tertelan banyak air, namun saya kuatkan diri untuk terapung di permukaan air.
“Saya lega apabila melihat ibu saya, namun saya agak sedih adik saya belum ditemui,” katanya yang turut mengalami kecederaan di tangan kirinya. – UTUSAN










