Kajian lapangan terbang guna sama Malaysia-Thailand di Perlis - Utusan Malaysia

Kajian lapangan terbang guna sama Malaysia-Thailand di Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah taklimat oleh delegasi NCIA yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Mohamad Haris Kader Sultan di Galeri Diraja Arau, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) diharap dapat membantu Perlis melakukan kajian terperinci mengenai kebolehlaksanaan sebuah lapangan terbang guna sama oleh Malaysia dan Thailand di sekitar Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Padang Besar.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kajian tersebut sebagai mana yang sudah dilaksanakan NCIA sebelum-sebelum ini.

“Antaranya seperti kajian gerbang antarabangsa Kuala Perlis-Satun, kajian kebolehlaksanaan pembangunan jeti Kuala Perlis dan kebolehlaksanaan karidor Maritim Sanglang,” titah baginda ketika berkenan berangkat menerima sembah taklimat oleh delegasi NCIA yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Mohamad Haris Kader Sultan di Galeri Diraja Arau di sini semalam.

Hadir sama, Ketua NCIA Wilayah Perlis dan Kedah, Suhaila Mohd Nazer dan ketua pejabat NCIA Perlis, Muhammad Faridzul Lin.

Sesi sembah taklimat berkenaan juga dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Datuk. Dr Zaliman Sauli; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN), Zuhair Jamaludin.

Dalam sesi berkenaan, baginda juga dipersembah maklumkan mengenai mengenai status projek-projek strategik dan berimpak tinggi di Perlis.

Antaranya termasuklah mengenai status projek yang terdapat di CVIA, Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Pembangunan Pelancongan Wang Kelian, serta Inisiatif Zon Ekonomi AgriBio NGER (NAEZ) Chuping -Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, baginda menegaskan, semua pihak termasuklah kerajaan, swasta serta pihak berkepentingan agar memastikan segala jenis projek khususnya berskala besar terutamanya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan pelancongan siap sepenuhnya.

“Perkembangan tersebut penting bagi memastikan ia beroperasi berdasarkan garis masa yang telah ditetapkan,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN