Juru ukur rangkul hadiah rumah MSAM 2024 - Utusan Malaysia

Juru ukur rangkul hadiah rumah MSAM 2024

Rumah MSAM
AMIRUDIN Shari dan menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah sebuah apartment yang bernilai RM500,000 kepada Mohamad Redzuan Daud pada majlis penutup MSAM di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Impian seorang lelaki memiliki rumah pertama selepas 20 tahun bermastautin di Selangor tercapai apabila memenangi hadiah cabutan utama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 hari ini.

Tuah memihak kepada Mohamad Redzuan Daud, 39, apabila menerima sebuah unit apartmen servis di Serasi Residences, Putra Heights Sentral yang bernilai RM500,000.

Menurut penolong juru ukur Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor itu, dia menyertai karnival berkenaan sejak hari pertama perasmiannya pada Khamis lalu.

“Tertarik dengan kepelbagaian program MSAM, saya kemudian kembali semula pada hari kedua dan menyertai kuiz yang disediakan kepada pengunjung.

“Saya amat terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang dan ia juga merupakan hadiah cabutan pertama dalam hidup selama ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan karnival itu hari ini.

Hadiah utama itu diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan turut disaksikan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Jelas Mohamad Redzuan, dia kini menyewa rumah di Seksyen 17 di sini, dan berulang alik ke tempat kerjanya di Kuala Selangor.

“Saya bermastautin di Shah Alam sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan Ijazah Sains Ukur. Kini, ia hampir 20 tahun dan syukur saya dapat memiliki rumah sendiri apatah lagi ia kediaman pertama,” ujarnya.

Tambah anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, dia akan terus berpindah ke kediaman berkenaan selepas memperoleh kunci kelak.

Selain Mohamad Redzuan, pengunjung lain turut memenangi hadiah utama iaitu Noritah Rusli, 48, yang membawa pulang Perodua Ativa 1.0 Turbo.

Harozi Ramli, 45, dari Melaka, pula memenangi Macbook Air 13 inci selepas bagi kategori pengunjung bertuah pada majlis penutupan MSAM 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN