SHAH ALAM: Jenazah Allahyarham Muhammad Nidza Afham sudah bergerak daripada Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA) menuju ke Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, Kuala Selangor.
Van jenazah daripada Masjid Puncak Alam membawa keluar jenazah daripada HSA kira-kira pukul 5.03 petang.
Difahamkan, proses bedah siasat tubuh Allahyarham selesai kira-kira pukul 4 petang, selepas proses itu bermula pukul 11.15 pagi.
Jenazah Allahyarham akan disolat jenazah terlebih dahulu di Masjid Puncak Alam sebelum ke tanah perkuburan berkenaan bagi urusan pengebumian.
Lebih 20 ahli keluarga serta rakan Allahyarham berkumpul di HSA sejak pukul 8 pagi, menunggu proses bedah siasat selesai serta mahu mengikuti perkembangan kes berkenaan dengan lebih dekat.
Hujan renyai mengiringi perjalanan terakhir jenazah ke masjid serta tanah perkuburan. – UTUSAN










