Keluarga Nidza Afham serah polis siasat - Utusan Malaysia

Keluarga Nidza Afham serah polis siasat

Serah polis
JENAZAH Muhammad Nidza Afham Mokhtar selamat dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor, semalam. UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Keluarga Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan selepas keputusan bedah siasat diperoleh hari ini.

Abang sulungnya, Muhammad Nidza Irfan Mokhtar, 33, berkata dia sekeluarga redha dengan ujian perit yang menimpa mereka ketika ini.

“Sewaktu saya bertanyakan pihak forensik (hospital), mereka memberitahu bahawa ia diserahkan kepada polis.

“Kami juga menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat lanjut kejadian yang menimpa arwah adik,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam di sini, petang semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bedah siasat terhadap mayat pemuda berusia 23 tahun itu didapati tiada kecederaan fizikal.

Punca kematian adalah ‘pending laboratory investigation’ dan tiada kecederaan fizikal lain serta siasatan kes diteruskan sebagai SDR.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Irni Yusmira Istihat, 54, berkata dia menerima segala ketentuan Ilahi biarpun amat sedih dengan kehilangan anak kelima daripada tujuh beradik berkenaan.

“Saya redha dengan apa yang berlaku kepada Afham dan bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar. Alhamdulillah, keadaan jenazah arwah juga sempurna beri seperti ketika saya melahirkannya di dunia ini,” luahnya.

Tambahnya, dia turut menyerahkan kepada polis bagi menyiasat lanjut kejadian menimpa anaknya itu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Nidza Afham, 23, selamat dikebumikan, kira-kira pukul 6.45 petang tadi selepas disembahyangkan di Masjid Puncak Alam.

Jenazah abang kepada penyanyi, Aufahanie sebelum itu dibawa dari Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA) selepas selesai proses bedah siasat dan dikafankan, kira-kira pukul 5 petang.

Nidza Afham hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Puteri, Klang untuk berjoging, kira-kira pukul 7.45 petang kelmarin.

Lokasi terakhir keberadaan lelaki yang memakai baju gelap itu adalah di Jambatan Kota berdekatan ibu pejabat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Kehilangan peserta rancangan realiti Can See Your Voice 3 itu terungkai selepas mayatnya ditemukan di Sungai Klang iaitu satu kilometer dari Jambatan Kota, pukul 7.30 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN