KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diingatkan agar tidak hanya mendengar sebaliknya menjelaskan kepada Perdana Menteri sekiranya wujud kekeliruan mengenai tuntutan 40 peratus hasil.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekiranya wujud kekeliruan antara peruntukan RM16 bilion dengan tuntuan 40 peratus hasil maka, kerajaan negeri perlu menegur sebaik mungkin.
“Jeffrey ada di situ, dia sebagai Timbalan Ketua Menteri suarakan tentang perkara itu kerana mereka tahu. Di Kabinet tidak tahu dibangkitkan atau tidak. Saya pun mana saya tahu RM16 bilion untuk apa tapi, 40 peratus hasil itu belum, itu lain.
“Saya yakin perkara ini perlu dijelaskan oleh kerajaan negeri, jangan hanya mendengar tapi jelaskan kepada Perdana Menteri. Kalau sekiranya keadaan itu tidak selari, mereka tegurlah sebaik mungkin dan nasihatkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya semasa Jelajah Presiden Warisan di Sepanggar, hari ini.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, mungkin ada antara taklimat yang disalah tafsir tentang keadaan yang berlaku kerana Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan berlainan dengan 40 peratus hasil.
“Senarai Persekutuan iaitu keselamatan, pendidikan dan kesihatan yang berada di bawah tanggungjawab Persekutuan jadi, bayaran gaji itu lain..suka tidak suka ini lain. Tuntutan 40 peratus merupakan Perlembagaan dan satu-satunya negeri yang boleh menuntut adalah Sabah…Sarawak tiada.
“Malah, kalau baca Perkara 112D Perlembagaan, cukup jelas menyatakan dua per lima hasil diperoleh daripada Sabah perlu dikembalikan kepada Sabah. Itu perjanjian dalam pembentukan Malaysia.
“Saya yakin negeri-negeri lain tidak akan kecil hati kalau mereka memahami undang-undang Perlembagaan ini. Bukan kita mahu lebih daripada negeri-negeri lain, tidak. Kita tidak mahu menuntut yang bukan hak kita, ini sebenarnya apa yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar isu peruntukan RM16 bilion kepada Sabah tidak dipolitikkan.
Malah katanya, Kerajaan Persekutuan terbuka untuk berbincang sekiranya Sabah memerlukan peruntukan tambahan. – UTUSAN








