PETALING JAYA: Sidang Parlimen yang dijadual pada 26 Julai ini harus mempunyai agenda bersifat menyeluruh dan bukan tertumpu kepada matlamat tertentu kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, secara tidak langsung pendekatan itu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan dasar pemerintahan yang baik.
“Saya lihat kerajaan seolah-olah takut berbahas dengan pembangkang. Ini bukan Parlimen jika tiada perbahasan dan ahli Parlimen mahu bersuara untuk mewakili rakyat di kawasannya. Kita tidak mahu lagi rakyat bersuara hanya melalui kibaran bendera putih.
“Daripada bersidang di Parlimen hanya untuk menerangkan kepada semua wakil rakyat, lebih baik bentang melalui televisyen sahaja. Apa maknanya sistem demokrasi berperlembagaan jika ini yang berlaku? Kalau benar kerajaan berani, bersidang dan berbahaslah seperti biasa.
“Kerajaan telah belanjakan wang negara berbilion ringgit dan buat ordinan tanpa dibincang terlebih dahulu. Bentangkan dan biar Parlimen luluskan mengikut prosedur yang betul,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing akan bersidang pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos dan 3 hingga 5 Ogos ini selama lima hari sekali gus menjadi penentu sama ada Muhyiddin mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.
Sidang itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan sidang secara hibrid diadakan.
Difahamkan, beberapa perundangan akan didebatkan di kedua-dua Majlis Parlimen melibatkan proklamasi darurat, Ordinan Darurat (Kuasa Penting) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.
Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa Penting) (No. 2) 2021, Ordinan Darurat (Kuasa Penting) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Tabung Amanah Negara) (Pindaan) turut dibentangkan.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna tetap menghadiri persidangan tersebut setelah lebih enam bulan tidak bersidang sejak Disember lalu.
“Saya akan datang ke Parlimen dengan membawa beberapa perkara yang saya mahu bangkitkan nanti. Tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku dan percaturan kerajaan bagaimana.
“Saya ingin menegaskan, tiada keperluan menjalankan sidang Parlimen hibrid jauh sekali untuk meluluskan pindaan undang-undang untuk membolehkan persidangan dengan cara ini. Ini bukan masa untuk mencuba-cuba,” katanya. – UTUSAN ONLINE










