KUALA LUMPUR: Penyanyi, Yuka Kharisma, 36, meluahkan rasa lega kerana memiliki pembantu yang serasi dan berpengalaman untuk menjaga cahaya mata keduanya yang baru berusia tujuh bulan.
Jelas Yuka, kehadiran pembantu berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung dia dan suami, Ahmad Jeffny yang sibuk mengurus dan menganjurkan acara dan konsert.
“Usia bayi kami sudah masuk tujuh bulan. Disebabkan jadual kerja yang agak padat, saya dan suami membuat keputusan untuk menggunakan khidmat pembantu untuk jaga anak kami.
“Tapi saya lega, kerja tahun ini, aturannya sudah disusun dan dirancang sejak satu tahun lalu. Jadi, meskipun banyak konsert yang saya dan suami anjurkan tahun ini, kami masih ada masa untuk keluarga,” katanya sewaktu sidang media konsert Ada Afgan dan Lyodra di ibu kota baru-baru ini.
Yuka mendirikan rumah tangga pada Mei 2016 dengan Ahmad Jeffny yang juga seorang pemuzik.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata Ahmad Avisenna dan Aura.
Berkongsi mengenai single baharu, Yuka memaklumkan dia dan penyanyi, Idayu masih dalam proses menyiapkan lagu duet mereka yang pertama.
“Single tersebut masih dalam proses rakaman, belum boleh diterbitkan dalam masa terdekat.
“Kami cuba selesaikan, apabila ia siap nanti akan kami war-warkan kepada peminat,” ujarnya.










