Identiti mangsa rentung dalam kereta terlibat nahas dikenal pasti - Utusan Malaysia

Identiti mangsa rentung dalam kereta terlibat nahas dikenal pasti

KEADAAN kereta Honda City yang terbakar selepas terbabas di Teluk Intan semalam.- UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Identiti mangsa rentung dalam nahas jalan raya di Kilometer 24, Teluk Intan-Bidor di sini semalam, telah dikenal pasti hari ini.

Mangsa adalah A. Mughilan berusia 28 tahun dari Teluk Intan yang pemandu kereta jenis Honda City.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat kemalangan tersebut diterima pihaknya pada pukul 11 malam.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Teluk Intan ke Bidor sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit dan terbalik.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta dipandu mangsa terbakar dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran.

“Pemeriksaan di dalam kereta kemudian menemukan mangsa dalam keadaan rentung. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pengecaman ke atas mayat lelaki itu telah dilakukan bapa kandungnya pada pukul 10 pagi hari ini.

Katanya, kenderaan terlibat akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syamil Abd. Manan di talian 011-10065817 bagi membantu siasatan,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN