SINGAPURA: Suami di negara ini diberi kemudahan cuti bergaji untuk menjaga anak sehingga 14 minggu apabila skim Cuti Yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) dilaksanakan sepenuhnya bermula April 2026.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam Rapat Hari Kebangsaan semalam.
Tempoh cuti ini termasuk cuti paterniti yang dibayar pemerintah (GPPL) wajib selama empat minggu mulai 1 April 2025, berbanding GPPL mandatori buat masa ini, iaitu dua minggu.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, di bawah pendekatan berfasa skim SPL baharu ini, ibu bapa bekerja yang layak dengan bayi dilahirkan pada atau selepas 1 April 2025 boleh mengambil SPL selama enam minggu dalam fasa pertama.
Ini akan dinaikkan kepada 10 minggu bagi bayi warga yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2026 dalam fasa kedua.
Menurut Lawrence, pendekatan berfasa ini dibuat selepas mengambil kira pertimbangan oleh pihak majikan.
“Saya berharap langkah ini dapat memberi keyakinan kepada pasangan muda, sedang kita membina Singapura yang mesra keluarga.
“Kami akan membantu anda mengekalkan keseimbangan baik antara tanggungjawab di tempat kerja dan kewajiban anda sebagai ibu bapa,” kata Lawrence.
Untuk mewujudkan persekitaran lebih mesra keluarga dan menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura untuk memulakan keluarga, Lawrence berkata kerajaan akan menyediakan 10 minggu tambahan cuti bersalin bersama untuk ibu bapa dengan bayi yang baharu lahir, serta cuti paterniti mandatori bermula 1 April 2025 untuk bapa.
Ibu-ibu sudah menikmati 16 minggu cuti bersalin. Secara keseluruhan, ibu bapa boleh menikmati cuti bersalin berbayar kerajaan sehingga 30 minggu menjelang 1 April 2026.-AGENSI










