KUALA TERENGGANU: Ibu bapa kepada pelajar-pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di negeri ini meminta pihak terlibat mencari jalan penyelesaian segera bagi mengatasi masalah keracunan makanan yang didakwa sering berlaku sejak akhir-akhir ini.
Difahamkan, kejadian terbaharu ialah dua hari lalu menyebabkan lebih 20 pelajar mengalami simptom keracunan makanan seperti sakit perut, cirit-birit dan demam.
Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, ramai pelajar kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan beberapa hospital swasta yang lain di Kuala Terengganu.
Beliau berkata, kes keracunan makanan di sekolah berasrama penuh itu bagaikan tiada jalan penyelesaian kerana telah berlaku tiga kali berturut-turut dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
“Sangat kasihan dengan anak-anak kerana terpaksa mengalami kesakitan dan ini mengganggu sesi pembelajaran mereka di sekolah.
“Ada yang alami simptom ringan dan bertahan tanpa perlu pergi ke hospital, namun ada juga yang sakit teruk dan terpaksa menerima rawatan di wad.
“Kami sangat berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil satu langkah yang drastik untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang ibu kepada pelajar yang enggan dikenali identitinya berkata, anaknya mula mengadu sakit perut sejak pagi Khamis lalu.
“Pada sebelah pagi, dia masih hadir ke sekolah, namun terpaksa pulang ke asrama tidak lama selepas itu kerana badannya terasa sangat lemah dan perlu berehat.
“Disebabkan bimbang keadaannya semakin teruk dan berlarutan, saya telah menjemputnya pulang ke rumah pada hari yang sama dan menghantarnya ke hospital,” katanya.
Sementara itu, kakak kepada seorang pelajar pula mendakwa pihak sekolah seolah-olah ingin merahsiakan perkara itu dengan tidak membenarkan pelajar atau ibu bapa bercerita kepada pihak luar.
“Kami ingin tindakan tegas diambil sama ada terhadap operator di dewan makan atau kantin (mana-mana yang cuai), lakukan langkah yang sewajarnya kerana kami tidak mahu perkara ini terus menghantui keluarga pelajar,” katanya. – UTUSAN










