KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong penuh pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.
Beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa juga telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan pendirian Malaysia yang sama dengan pendirian kami selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga menyokong penuh tindakan dan kenyataan Wisma Putra bahawa isi kandungan video tular di media sosial yang mempertikaikan kedaulatan negeri Sabah, tidak berasas dan mengelirukan.
“Kami yakin Kementerian Luar akan dapat menyiasat perkara itu secara menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.
Semalam semasa Himpunan Perdana Rakyat Keadilan Sabah, Anwar menyatakan pendirian kerajaan Persekutuan untuk tidak bertolak ansur soal kedaulatan negara dan kedudukan Sabah yang merupakan sebahagian daripada Malaysia.
Beliau berkata, apabila Filipina membangkitkan semula tentang kedudukan Sabah, beliau menjawab isu berkenaan dengan penuh diplomatik bagi menjaga hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Filipina. Tapi, soal kedaulatan negara dan kedudukan Sabah, tidak ada sebarang tolak ansur. – UTUSAN










