KLANG: Cubaan menyeludup 6,500 pokok hiasan hidup termasuk bonsai dari China tumpas selepas dirampas pihak berkuasa di Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini, 6 Jun lalu.
Kesemua pokok bernilai RM325,000 yang diikrarkan sebagai pokok plastik itu dipercayai mahu dihantar kepada pihak tertentu bagi pasaran negara ini.
Namun, helah itu berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit Dua (Selangor) yang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di pelabuhan tersebut.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, semakan pihaknya mendapati semua pokok hidup itu tiada permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Sindiket itu menggunakan taktik mengikrarkan dagangan sebagai pokok hiasan plastik melalui Borang Kastam 1.
“Modus operandi itu digunakan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mahu mengedarkannya bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambah Norlela, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan.
Dalam pada itu, kata Norlela, pihaknya turut merampas 381 kilogram (kg) tembakau shisha bernilai RM43,832 termasuk cukai dalam sebuah kontena di pelabuhan sama pada 15 Jun lalu.
“Siasatan awal mendapati tembakau berkenaan turut tidak mempunyai permit import. Kesemua barangan itu diikrar sebagai barangan lain bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN










