Fahmi tidak boleh terima alasan Meta gantung siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin

Fahmi tidak boleh terima alasan Meta gantung siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin

FAHMI Fadzil mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak boleh menerima alasan diberikan Meta Platforms Inc (Meta) berhubung tindakan penggantungan siaran langsung disiarkan di Facebook (FB) melalui akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin, Ahad lalu.

Menurutnya, syarikat gergasi teknologi itu menggunakan alasan lagu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi pada himpunan berkenaan telah melanggar hak cipta.

“Dalam bab ini, saya tidak boleh terima penjelasan mereka. Mereka mengatakan ada isu hak cipta membabitkan satu lagu dinyanyikan oleh Faizal Tahir.

“Tapi kenapa hanya siaran dari (akaun FB) Berita RTM disekat tetapi bukan sebagai contoh (akaun FB) Harian Metro, ia bersiar seperti biasa dan tak ada sekatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan kementerian, di sini hari ini.

Katanya, beliau telah meminta kerjasama daripada Meta dengan memberikan lebih awal senarai agensi media yang ingin menyiarkan secara langsung himpunan terbabit menerusi platform FB.

Ditanya apa reaksi Meta apabila beliau tidak menerima alasan itu, Fahmi dengan nada sinis berkata: “Mereka (Meta) hanya senyum simpul.”

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) melahirkan kekecewaan terhadap tindakan syarikat terbabit menerusi pertemuan dengan wakil Meta yang turut disertai Fahmi.

Sebelum ini, Fahmi dilapor berkata, pegawai tertinggi Meta telah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil tidak akan diturunkan.

Bagaimanapun, siaran langsung yang disiarkan di Facebook Berita RTM pada himpunan berkenaan telah digantung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN