PETALING JAYA: Kerajaan digesa melakukan siasatan terhadap Malaysia Airlines (MAS) ekoran berlaku enam insiden dalam tempoh yang singkat melibatkan pesawatnya.
Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, insiden pendaratan cemas dan masalah teknikal yang kerap terjadi menyebabkan berlakunya krisis keyakinan terhadap MAS.
Kata beliau, kerajaan perlu melakukan siasatan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
“Oleh kerana kerap berlaku insiden maka orang ramai tertanya-tanya, ‘apa sudah jadi dengan MAS? Selamat atau tidak menaiki pesawat MAS?’
“Ini seolah-olah satu krisis keyakinan penumpang terhadap MAS yang sudah pasti menjejaskan reputasi negara dan berpotensi membawa kerugian kepada syarikat penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG) jika berterusan,” katanya semalam.
Antara enam insiden dirujuk Presiden MCA itu adalah pada 9 Januari 2023 yang mana pesawat Airbus A330 MAS dari Kuala Lumpur ke Melbourne, Australia terpaksa membuat pendaratan cemas susulan masalah sistem bahan api semasa penerbangan. – UTUSAN










