DUN Nenggiri: Mohd. Azizi tarik balik rayuan

DUN Nenggiri: Mohd. Azizi tarik balik rayuan

MOHD. AZIZI ABU NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut.

Mohd. Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang turut menarik balik permohonan injunksi Erinford; injunksi bagi mengekalkan status quo kedudukannya sebagai ADUN.

Sehubungan itu, panel dua Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran dan bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Shahid membatalkan rayuan serta permohonan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika dihubungi media selepas tamat prosiding.

Beliau turut memaklumkan bahawa mahkamah memerintahkan Mohd. Azizi untuk membayar kos RM25,000 kepada setiap responden.

Selain Mohd. Amar, turut dinamakan sebagai responden ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Speaker DUN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Mohd. Azizi turut mengesahkan perkara sama ketika dihubungi media.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara Mohd. Azizi selepas berpuas hati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak wajar dihalang melaksanakan fungsi keperlembagaannya untuk mengendalikan PRK DUN berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain ketika membaca penghakimannya menyatakan PRK DUN Nenggiri tidak sepatutnya disekat kerana keperluan pilihan raya telah digerakkan oleh SPR dan perlu dilaksanakan dalam jangka masa yang ditetapkan.

Selain itu, mahkamah turut menyatakan perintah injunksi sementara hanya akan menyebabkan hak pengundi dinafikan dan menyebabkan ketidaktentuan dalam proses demokrasi.Menurut saman pemula yang difailkan pada 24 Jun lalu, Mohd. Azizi antara lain memohon deklarasi bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh

SPR kerana ia masih dipegang oleh beliau.

Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah tidak sah kerana notis itu sendiri tidak sah manakala pemecatannya dibuat dengan niat jahat.

Dalam tuntutan itu, Mohd. Azizi menegaskan bahawa pindaan kepada Fasal 10 perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN