SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 25 Ogos ini sebagai tarikh prosiding hujahan bagi permohonan notis usul penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia bulan lalu.
Penetapan tarikh dibuat Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet selepas mendengar permohonan peguam Datuk Naran Singh yang mewakili ibu arwah, Ummu Haiman Bee Daulatgun.
Permohonan tersebut bertujuan membolehkan bedah siasat kali kedua dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anak guamnya.
Dalam prosiding semalam, mahkamah turut memerintahkan Ketua Polis Negara dan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor sebagai responden pertama, serta Jabatan Peguam Negara sebagai responden kedua, mengemukakan afidavit balasan selewat-lewatnya Jumaat ini.
Terdahulu, wakil responden memohon tempoh dua minggu untuk mengemukakan afidavit, namun permohonan itu dibantah oleh pihak pemohon kerana jenazah telah dikebumikan sejak dua minggu lalu dan kes ini menjadi perhatian umum.
Menurut Naran, pihaknya juga memohon kebenaran mahkamah untuk beliau serta pakar patologi, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh, hadir sebagai pemerhati semasa proses bedah siasat kedua dijalankan, selain memohon akses kepada gambar bedah siasat pertama.
Katanya, mereka sedia menanggung sepenuhnya kos bedah siasat berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Allison Chan membantah permohonan tersebut berikutan siasatan polis masih berjalan.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, dilaporkan rebah dan meninggal dunia ketika menjalani latihan ketenteraan Palapes UTM di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram, 28 Julai lalu.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan hasil siasatan awal oleh jawatankuasa khas tiga kementerian mendapati tiada unsur penderaan dalam insiden kematian tersebut. – UTUSAN









