Dr. Mahathir sedih, marah pembunuhan Ismail Haniyeh
PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sedih dan marah atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, mengecam Israel dan penyokongnya sebagai hipokrit dan pengganas sebenar.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, media Barat dan beberapa pemimpin mereka juga terus-menerus mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas, sedangkan mereka berjuang menentang Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel dan peneroka haram Yahudi yang selama beberapa dekad melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin.
“Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabel Ismail, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas. Kemunafikan Barat dan pihak sejenisnya memang memualkan.
“Saya benar-benar sedih dan marah kerana Ismail, seorang lelaki yang baik dan berani yang menghabiskan seluruh usia dewasanya berjuang untuk pembebasan Palestin telah dibunuh.
“Saya marah kerana dunia Barat, yang boleh membuat perubahan namun memilih untuk berdiam diri dan sebaliknya memihak kepada Israel dalam melakukan tindakan keganasan mereka dan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau tetap optimis, walaupun mereka membunuh pemimpin itu, perjuangan Ismail tidak akan pergi bersamanya dan rakyat Palestin tidak akan membiarkan kematiannya sia-sia.
“Mereka mungkin membunuh Ismail tetapi bukan idea dan perjuangannya. Kepada keluarga Ismail, terimalah ucapan takziah saya yang sedalam-dalamnya atas kehilangan seorang lelaki yang luar biasa.
“Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan berpegang pada keyakinan. Semoga Allah mengampuni, memberikan syurga dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh. Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka,” katanya.
Dalam pada itu, kata Dr. Mahathir, beliau bertuah dan bangga dapat berkenalan dengan Allahyarham Ismail selama ini yang dikenali sebagai individu lembut tutur kata, namun memiliki hati seperti singa.
“Usaha Ismail yang tidak putus-putus dalam memperjuang pembebasan Palestin menentang penjajahan Israel sememangnya sesuatu yang harus dicontohi oleh setiap pejuang kemerdekaan.
“Beliau seorang yang mengagumkan dengan keberaniannya membela rakyatnya jelas berpunca daripada hati nurani yang bersih dan berpandukan kompas moral yang berteraskan kemanusiaan dan keyakinan agama,” katanya.-UTUSAN










