Doktor jual ubat tidak berdaftar diarah bela diri 25 Nov.

Doktor jual ubat tidak berdaftar diarah bela diri 25 Nov.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menetapkan November ini untuk perbicaraan peringkat bela diri kes seorang pengamal perubatan yang didakwa menjual ubat bukan keluaran berdaftar, empat tahun lalu.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan menetapkan perbicaraan membabitkan Dr. Roland Victor, 42, selama tiga hari bermula 25 November ini.

Mahkamah turut menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes bagi semua pihak mengemukakan senarai saksi yang akan dipanggil ke mahkamah.

Pada 9 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan Roland yang didakwa sebagai Orang Kena Saman (OKS) untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes.

Roland kini sedang dibicarakan di Mahkamah Majistret Sesyen atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin Covid-19.

Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Siti Nor Sarahidah Jayatan manakala doktor terbabit   diwakili peguam bela, K. Shalvin.

Shalvin memberitahu, pihaknya akan memanggil lima orang saksi pembelaan pada perbicaraan kelak.

Mengikut pertuduhan, sebagai Pengarah RCS Health Services Sdn. Bhd., Roland didakwa menjual Curcumin BCM 95% 100mg Vitamin K2(MK4 500mcg + MK7 50mcg) + Ascorbic Acid 500mg + Vitamin D3 2000iu + Zinc Orotate 25mg sebanyak 30 kapsul yang merupakan keluaran tidak berdaftar melalui pekerja kliniknya di Jalan Perak di sini pada 7 Julai 2020.

Lelaki itu didakwa telah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.

Beliau boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 dan untuk kesalahan ulangan, hukuman denda tidak melebihi RM 100,000, jika sabit kesalahan. 

Pada 21 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Sepang memerintahkan Roland membela diri atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN