PETALING JAYA: Dua buah stor haram serta empat premis yang menyimpan serta menjual ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM6 juta diserbu dalam operasi khas pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di sekitar Klang, minggu lalu
Operasi tersebut dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.
KKM dalam kenyataan berkata, operasi dijalankan sekitar kira-kira pukul 11 pagi pada 23 Oktober lalu dengan bantuan CPF dari negeri Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Katanya, pemeriksaan terhadap enam premis terbabit membawa kepada rampasan sebanyak 402 jenis ubat tidak berdaftar.
“Ia termasuk produk keluaran luar negara yang dipercayai diperoleh daripada pembekal tidak sah untuk dijual di pasaran tempatan
“Antara ubat yang dirampas termasuk bahan perangsang seks (Sildenafil), antibiotik (Tetracycline dan Amoxicillin), steroid (Dexamethasone), pil kontraseptif (Ethinylestradiol/Levonorgestrel) dan antihistamin (Chlorpheniramine),” katanya.
Jelasnya, penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
“Tindakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF JKNS dalam membanteras penjualan dan pengedaran ubat tidak berdaftar di pasaran bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin,” katanya yang turut memberitahu tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan. – UTUSAN








