KUANTAN: Seorang pegawai perubatan di sebuah hospital, rugi kira-kira RM177,930 kerana disyaki terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pihak multimedia dan pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 29 tahun itu dilaporkan bekerja di Hospital Temerloh.
“Pada 5 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pihak multimedia dan dalam perbualan tersebut suspek menyatakan bahawa nombor telefon mangsa terlibat dengan kes judi atas talian.
“Panggilan telefon mangsa itu kemudian disambung pula kepada pihak polis sekali gus memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam kes pengubalan wang haram,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa mula panik apabila `polis’ yang bercakap dengannya memberitahu pihaknya menerima satu Surat Perintah Penangkapan dan Perintah Pembekuan Aset-aset miliknya.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, mangsa kemudian diberikan pautan untuk memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengisi maklumat yang diperlukan selain meminta mangsa mengesahkan 12 transaksi ke tujuh akaun bank melibatkan wang berjumlah RM 177,930.
“Kesemua wang tersebut dipercayai merupakan simpanan mangsa daripada akaun Akaun Simpanan Bumiputera (ASB) dan pemindahan itu kononnya bagi tujuan audit,” kata beliau. – UTUSAN










