DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dan lebih 10 bekas menteri bakal diheret ke Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) atas kesalahan genosid dan jenayah ketika rusuhan besar-besaran awal bulan sehingga meragut lebih 100 nyawa.
Petisyen itu dikemukakan agar Hasina dan bersama individu tersebut disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang kerana melakukan pembunuhan ke atas perusuh khususnya melibatkan para pelajar, memetik laporan media tempatan Dhaka Tribute.
Selain Hasina, antara nama dalam petisyen tersebut adalah Setiausaha Agung Parti Liga Awani, Obaidul Quader; bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal di samping menamakan Liga Awani yang merupakan parti Hasina serta organisasi berkaitan sebagai responden.
Petisyen itu dikemukakan Bulbul Kabir iaitu bapa kepada pelajar maut ketika rusuhan, Arif Ahmed Siam, yang maut ketika dalam rusuhan untuk menggesa Hasina meletak jawatan.
Dalam petisyen itu, Bulbul mendakwa Hasina dan individu menjadi dalang tindakan keras terhadap penunjuk perasaan sekali gus menyebabkan angka korban meningkat dan pencabulan hak asasi manusia.
Semalam, sebuah mahkamah di Bangladesh telah mengarahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang didakwa berperanan dalam kematian seorang pemilik kedai runcit di Dhaka semasa protes yang diketuai oleh pelajar bulan lalu.
Protes anti-kerajaan yang diketuai oleh pelajar bermula dengan tunjuk perasaan menentang sistem kuota dalam sektor pekerjaan sebelum melonjak ke arah protes ganas bagi menggulingkan kerajaan pimpinan Hasina sebelum wanita meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India. – AGENSI










