ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah kesal dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa mengandungi tuduhan jahat terhadap Pengarah Pendidikan Kedah.
Pengarah Biro Komunikasi Amanah Kedah, Firdaus Shater berkata, Muhammad Sanusi seharusnya menjadi contoh teladan dan mengamalkan sikap hormat-menghormati dalam kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan.
“Tindakan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin negeri. Tuduhan yang dilontarkan tanpa bukti kukuh hanya akan menimbulkan ketegangan dan merosakkan imej serta nama baik pegawai kerajaan.
“Amanah Kedah yakin sebarang tindakan atau keputusan diambil oleh mana-mana pegawai kerajaan di Kementerian Pendidikan adalah tertakluk kepada Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Firdaus berkata, garis panduan juga telah dikeluarkan oleh KPM berkaitan kelulusan sebarang permohonan dari pihak luar untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan murid, guru dan institusi pendidikan di bawah KPM.
Justeru, pihaknya menyarankan agar Muhamamd Sanusi mengambil langkah bijak dengan menyelesaikan sebarang isu yang timbul melalui saluran tepat tanpa menjatuhkan kredibiliti penjawat awam yang sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Sikap profesional dan bertanggungjawab amat diperlukan dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin. Kami turut menyelar tindakan beliau yang tidak bertanggungjawab mengaitkan nama Amanah dengan niat untuk memberikan pandangan negatif kepada masyarakat.
“Amanah Kedah juga ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej dan kredibiliti parti,” ujarnya.
Semalam, Muhammad Sanusi ketika ucapan penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mendakwa KPM, menterinya dan Pengarah Pendidikan Kedah melaksanakan agenda politik kepartian Kerajaan Persekutuan.
Justeru, beliau berharap KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) lebih terbuka untuk menjayakan Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas) dianjurkan negeri bagi membantu kementerian dalam menangani isu keciciran pelajar di Kedah.
“Saya tidak pernah kecam mana-mana pegawai sebelum ini (tapi) hari ini (semalam) saya nak melahirkan kekecewaan di sini. Kalau nak main politik letak jawatan pegawai kerajaan dan jadi wakil rakyat, kita berbahas di dewan ini sebagai ahli politik.
“Jangan guna kuasa di kementerian, di jabatan untuk melaksanakan arahan politik kerana itu akan menghancurkan negara,” katanya.
Dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi turut menyatakan Pengarah Pendidikan Kedah merupakan pengerusi perhubungan parti politik kerajaan madani dan seorang aktivis Amanah, sebelum ini. -UTUSAN










