KUALA LUMPUR: UMNO enggan mempedulikan tohmahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan parti tersebut ‘lebih dajal dari dajal’ bagi mengelak perpecahan menjadi semakin parah.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya juga boleh menggelar Pas sebagai ‘dajal’ bagaimanapun pendekatan itu bukanlah suatu yang baik untuk perpaduan rakyat.
Sebab itu, kata beliau, dirinya mengambil pendekatan enggan mempedulikan tohmahan Ahli Parlimen Marang itu.
“Takpalah (jika itu) dia (Abdul Hadi) punya penafsiran al-Quran begitu, biarlah dia. Saya tidak dapat nak (ulas) sebab saya tidak sealim beliau.
“Kami pun boleh panggil seseorang itu dajal tetapi kami tidak sampai begitu kerana kita tidak mahu perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bertambah parah. Jadi saya mengambil sikap supaya orang nak kata apa katalah, terpulang dekat dia.
“(Ini kerana) dosa (dan) pahala itu adalah Allah SWT yang kira, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mohamad yang juga merupakan Menteri Luar mengadakan lawatan ke Laman Media bagi beramah mesra dengan pemberita yang membuat liputan bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Abdul Hadi melalui tulisannya dalam Minda Presiden Pas bertajuk ‘Politik, Bohong dan Kebendaan Tetap Menjadi Pilihan UMNO-Pakatan Harapan (PH)’ mendakwa kerajaan di bawah pemerintahan UMNO dan PH adalah ‘dajal’.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa UMNO sudah rosak bersama PH meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan serta mempertahankan kerajaannya.
Jelasnya, kerajaan membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya dapat meraih sokongan dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama serta amalan demokrasi. – UTUSAN










