CUEPACS kesal Jabatan Kesihatan Selangor pendek cuti bersalin 60 hari - Utusan Malaysia

CUEPACS kesal Jabatan Kesihatan Selangor pendek cuti bersalin 60 hari

ADNAN Mat (tengah) beramah mesra dengan jururawat pada Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam Kesihatan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kesal dengan keputusan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menghadkan cuti bersalin selama 60 hari sahaja.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata,
walaupun keputusan meluluskan penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari berikutan kekurangan pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, namun ia tidak sewajarnya berlaku.

Menurutnya, semua penjawat awam wanita patut diberi kemudahan cuti bersalin selama 90 hari seperti diluluskan kerajaan dan langkah memendekkan cuti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Perkara ini boleh dielakkan sekiranya ketua perkhidmatan mengambil langkah awal dengan menyusun mobiliti pekerja atau membuat pelantikan yang wajar dengan anggaran berlakunya cuti bersalin secara serentak di mana-mana tempat.

“CUEPACS berharap Bahagian Sumber Manusia dapat memastikan perkara sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu kebajikan penjawat awam terjejas dengan menghadkan cuti bersalin mereka kepada 60 hari berbanding 90 hari yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Inspirasi Gemilang Penjawat Awam (Kesihatan Negeri Terengganu) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr. Ummi Kalthom Shamsudin berkata, keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan cuti bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai lalu.

Mengulas lanjut, Adnan memberitahu, walaupun keputusan menghadkan cuti bersalin hanya 60 hari itu boleh dilakukan oleh ketua perkhidmatan, namun ia perlu dielak demi menjaga kebajikan pegawai yang bertugas.

“CUEPACS berharap jika ada yang memohon cuti 90 hari, ia perlu diluluskan kerana mahu memberi kelegaan dan tempoh rehat yang selesa sepanjang tempoh berpantang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN