CAP gesa jalan persekutuan dinaik taraf

CAP gesa jalan persekutuan dinaik taraf

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menaik taraf jalan-jalan persekutuan memandangkan sekitar 60 peratus jalan persekutuan di Malaysia telah melebihi hayat perkhidmatannya dan memerlukan pembaikan segera.

Presiden CAP, Mohideen Abd. Kader berkata, selain itu, pihak berkuasa juga perlu mengenakan penalti yang lebih tegas terhadap kenderaan komersial yang melebihi muatan kerana kajian menunjukkan, ia dikenal pasti sebagai punca utama kerosakan awal jalan raya, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang menyumbang dengan ketara kepada kemalangan jalan raya.

“Pada 2008, didapati bahawa 27 peratus daripada satu juta kenderaan komersial yang berdaftar di negara ini melebihi muatan, menyebabkan jalan menjadi rosak dalam tempoh tiga tahun pertama walaupun ia direka untuk bertahan sehingga satu dekad.

“Jalan yang rosak, termasuklah berlubang, merupakan faktor penyumbang utama kepada kemalangan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melaporkan bahawa, kenderaan berat terlibat dalam 25 peratus kemalangan maut dan hal ini berlaku kerana kenderaan ini yang rata-ratanya membawa lebih muatan memerlukan jarak yang lebih jauh untuk berhenti.

“Faktor lain yang menyumbang kepada keadaan jalan yang buruk ialah kerja pembaikan yang tidak memuaskan oleh kontraktor pihak ketiga.

“Pada 2018, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (MHA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengaitkan kecacatan ini kepada kontraktor yang gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Bayaran kepada kontraktor yang kurang berprestasi ini perlu ditahan sehingga kerja mereka memenuhi piawaian yang diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap, diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan adalah penting.

“Ini kerana, kebergantungan utama kepada kereta dan motosikal persendirian berbanding pengangkutan awam memburukkan lagi kesesakan lalu lintas, kemalangan jalan raya dan tekanan.

“Sehingga akhir 2023, Malaysia mempunyai 17,244,978 kereta; 16,773,112 motosikal dan 1,429,403 kenderaan pengangkutan barang, tidak termasuk 915,494 bas, kereta sewa dan kenderaan lain yang tidak termasuk dalam kategori ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN