ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang buruh yang mengaku bersalah menawarkan rasuah kepada anggota polis, tahun lepas.
Tertuduh, Md. Isham Desa, 36, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.
Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Md. Isham didakwa menawarkan wang suapan sebanyak RM1,000 kepada seorang anggota polis, Koperal R. Suresh Kumar yang bertugas di Balai Polis Kuah, Langkawi.
Suapan berkenaan sebagai dorongan kepada anggota polis itu agar tidak mengambil tindakan ke atasnya yang ditangkap kerana memiliki dadah jenis syabu dan heroin.
Tertuduh melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta di sebuah kedai serbaneka di Taman Sri Langkawi, Jalan Padang Matsirat, Langkawi pada pukul 2.30 pagi, 27 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Hakim turut memerintah agar hukuman penjara ke atas Md. Isham dijalankan berasingan memandangkan tertuduh menjalani hukuman penjara kerana kes narkotik sehingga 20 Jun tahun depan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman terhadapnya diringankan memandangkan dia terpaksa menyara seorang isteri dan tiga anak yang berusia 18 hingga enam tahun. -UTUSAN










