KUALA LANGAT: Tindakan menyangka dua individu penarik kenderaan sebagai pencuri menyebabkan seorang pemilik diketahui gagal melunaskan bayaran bulanan hutang motosikalnya yang tertunggak hampir setahun.
Berdasarkan maklumat dikongsikan oleh Facebook My Kuala Langat, menerusi kejadian dekat luar sebuah rumah di Kampung Kelanang, di sini pada Sabtu lalu, dakwaan sedemikian timbul apabila sepasang suami isteri dikatakan datang untuk menarik motosikal tersebut.
Bagaimanapun, pasangan tersebut didekati orang kampung yang menyangka mereka hendak mencuri motosikal dan lebih menguatkan dakwaan apabila kedua-duanya gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sebagai penarik kenderaan atau surat berkaitan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Dakwaan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, bagaimanapun insiden tersebut berpunca daripada salah faham antara mereka ketika proses penarikan dibuat.
Menurutnya, polis menerima laporan pada 9 Ogos daripada seorang perempuan warga tempatan yang bekerja sebagai penarik motosikal serta anak kepada pemilik kenderaan itu.
“Keterangan kedua-dua sudah diambil dan mendapati berlaku salah faham antara mereka, kejadian tersebut tiada unsur jenayah cubaan mencuri motosikal.
“Justeru, salah faham diselesaikan dan kedua-dua pihak berdamai secara baik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Ahmad Ridhwan, beliau turut menafikan paparan video yang tular dan dikesan polis semalam sebagai cubaan mencuri motosikal.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan mana-mana berita palsu yang boleh mendatangkan ketakutan.
“Mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya. – UTUSAN










