KUALA NERUS: Seorang budak lelaki berusia empat tahun lemas ketika mandi di kolam renang di sebuah resort di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa dijumpai oleh seorang pengunjung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut beliau, ketika kejadian mangsa sedang mandi bersama abang dan kakaknya yang berusia 14 dan 12 tahun manakala ibu mangsa duduk di meja bersebelahan kolam.
“Menerusi percakapan awal dengan ibu mangsa, tiga orang anaknya mandi di dalam kolam manakala dia (ibu) menjaga anak bongsu berusia satu tahun.
“Ibu mangsa kemudian bertanyakan di mana mangsa ketika anak sulungnya naik untuk minum air di meja sebelum terdengar jeritan seorang pengunjung.
“Pengunjung berkenaan menjerit mencari ibu bapa kanak-kanak itu sambil mendukung dan membawa mangsa ke tepi kolam untuk memberi bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azli menjelaskan, mangsa bagaimanapun tidak memberi tindak balas sebelum pihak resort menghubungi ambulans dan mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Seberang Takir.
Menurut beliau, doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika di bawa ke klinik dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – UTUSAN










