PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), 17 Ogos ini.
Penganalisis politik dan Pensyarah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, keputusan 480 ahli Bersatu yang mengubah sokongan kepada UMNO memberi kelebIhan kepada parti itu untuk merampas Nenggiri.
“BN memang terkenal dengan kepakaran mereka untuk meraih undi di peringkat akar umbi dan berpotensi merampas Nenggiri disebabkan keputusan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin seramai 480 ahli daripada 12 cawangan Bersatu DUN Nenggiri dilapor mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.
Kumpulan tersebut diketuai bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, kesemua ahli Bersatu kecewa dengan tindakan Pas yang melanggar semangat setiakawan selepas meletakkan ahlinya bertanding di PRK DUN Nenggiri.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, antara isu yang akan dimainkan dalam kempen PRK oleh Perikatan Nasional (PN) adalah prestasi kerajaan.
“PN akan mempolitikkan isu nasional dan mendekatkan diri dengan pengundi dan menawarkan naratif seperti prestasi kerajaan yang difikirkan telah membelakangkan hasrat rakyat seperti dasar melibatkan subsidi,” katanya. – UTUSAN










