Barang rampasan Polis Petaling Jaya bernilai RM1.5 juta dilupus

Barang rampasan Polis Petaling Jaya bernilai RM1.5 juta dilupus

HUSSEIN Omar Khan mengemudi jentolak untuk memusnahkan barangan rampasan pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Ara Damansara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai barang kes membabitkan Polis Daerah Petaling Jaya dianggarkan bernilai RM1.5 juta dilupuskan hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 7,761 barang kes membabitkan siasatan sejak 1990 hingga tahun ini dilupuskan selepas mendapat arahan daripada majistret dan timbalan pendakwa raya.

Katanya, keseluruhan 7,761 barang kes yang dilupuskan itu dianggarkan bernilai RM1.5 juta hasil rampasan menerusi 1,370 serbuan dengan 1,376 kertas siasatan dibuka.

“Sebanyak 1,822 pelbagai barangan kes am dianggarkan bernilai RM40,000 dirampas dari 2009 hingga 2024 merangkumi pakaian, pelbagai senjata berbahaya (pisau, parang, batang besi), beg, barangan elektronik (telefon bimbit, kamera, peralatan audio video), dokumen (laporan forensik, laporan kimia) dilupuskan.

“Turut dilupuskan, 631 pelbagai jenis mercun yang dirampas sejak 2020 hingga pertengahan tahun ini dianggarkan bernilai RM10,000 dengan 12 kertas siasatan dibuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Ara Damansara, di sini hari ini yang turut dihadiri Hakim Mahkamah Petaling Jaya, Sazlina Safie; Timbalan Pendakwa Raya Petaling Jaya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar.

Selain itu, Hussein berkata, sebanyak 2,111 pelbagai barang kontraban yang dirampas dari 2018 hingga 2023 merangkumi rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai RM160,260 dilupuskan, hari ini.

“Polis turut melupuskan pelbagai barangan kes bitcoin terdiri daripada 531 mesin bitcoin serta pelbagai alatan seperti tembaga, wayar dan spanar dianggarkan bernilai RM480,000 yang dirampas dalam tempoh 2012 hingga 2022.

“Dalam pada itu, sebanyak 2,666 barang kes berkait perjudian dianggarkan bernilai RM547,000 dirampas dari 2015 hingga 2024 juga dilupuskan terdiri 813 peralatan elektronik seperti simulator, komputer, laptop, telefon yang dirampas daripada kegiatan perjudian atas talian.

“Ini termasuk 1,853 barang kes lain seperti daun terup, buah mahjung, buah dadu, printer, kertas, meja kerusi dan sebagainya,” katanya.

Hussein berkata, barang rampasan lain yang turut mendapat arahan dilupuskan adalah wang tunai berjumlah RM149,108.50 dan wang palsu (RM650) serta lima barang kemas yang dirampas sejak 1990 hingga tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, kesemua barang kes berharga itu dilupuskan dengan cara menyerahkannya kepada pihak Perbendaharaan Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN