Balai Raya tidak bertuan? 

Balai Raya tidak bertuan? 

BALAI raya di Kampung Melayu yang terbiar sejak sekian lama akibat tiada pihak yang menguruskannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua balai raya di bandar ini dilihat seperti tidak bertuan apabila dalam keadaan tidak terurus malah salah satunya sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. 

Tidak tahu di mana salah dan silapnya apabila kemudahan disediakan kerajaan ini terbiar tanpa pengurusan daripada mana-mana pihak sehingga menyebabkannya seperti rumah tinggal dan terbiar rosak. 

Penduduk, Rosli Mohamad, 50, berkata, balai raya di Kampung Melayu itui sudah terbiar sejak sekian lama dan dijadikan sesetengah pihak sebagai stor simpanan peralatan mereka. 

Katanya, melihat kepada keadaan balai raya ini jelas tergambar ia tidak pernah diguna pakai bagi kegunaan masyarakat setempat sehingga menyebabkannya seperti  tidak diuruskan atau dengan kata lain, tiada pihak bertanggungjawab ke atasnya. 

“Bila keadaan seperti ini, peruntukkan kerajaan untuk membina sebuah balai raya bernilai puluhan ribu seperti ini pasti menjadi sia-sia serta membazir apabila tidak dimanfaatkan oleh penduduk. 

“Malah dalam keadaan seperti ini, masih ada lagi kumpulan masyarakat memohon untuk disediakan sebuah balai raya di kawasan mereka sedangkan yang sedia ada pun banyak terbiar,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Seorang lagi penduduk hanya mahu dikenali sebagai Osman, 45, berkata, keadaan berbeza dengan balai raya di Kampung Haji Manan yang terbiar sejak tujuh tahun lalu selepas berlaku perebutan kuasa menguruskannya. 

Ujarnya, ketika itu apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang maka masing-masing berebut untuk menjadi pemilik pengurusannya yang pada akhirnya tidak terurus, rosak dan menjadi tempat pembiakan anjing liar. 

“Jika terus dibiarkan tanpa ada pihak menguruskannya, saya yakin balai raya itu akan rosak sedikit demi sedikit seterusnya tidak boleh digunakan lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN