PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan, kebebasan bersuara yang semakin berkurang di negara ini sehingga tahap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri tidak bertindak membela rakyat ketika ada yang ‘ditumbuk malah disimbah asid’.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam kenyataan berkenaan erti kemerdekaan ketika negara bakal meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos ini.
Beliau dipercayai merujuk kepada kes pemain bola sepak negara Faisal Halim, yang disimbah asid di pusat beli-belah dan kejadian pemandu e-hailing pekak Ong Ing Keong, yang dilaporkan ditumbuk polis pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di luar hotel, sebelum ini.
Katanya, rakyat Malaysia juga tidak boleh bercakap soal 3R (kaum, agama, raja), malah wartawan tidak boleh melaporkan ucapan ahli politik selain menyiasat pengamal media yang melaporkan berita tidak memuji kerajaan.
“Semasa British kita bebas bersurat khabar. Boleh bincang masalah dalam forum, boleh kecam British dan Malayan Union, boleh ada rapat umum dan demo jalanan tanpa kelulusan kerajaan, badan sukarelawan boleh diadakan.
“Tetapi, sekarang pelbagai sekatan dikena. Sentuh 3R, polis akan panggil dan dakwaan dibuat. Walhal 3R tidak melalui proses membuat undang-undang. Pernyataan oleh PM (Perdana Menteri) adalah undang-undang. Lulusan Dewan Rakyat tidak perlu.
“Rakyat disimbah asid, ditumbuk tidak menarik tindakan polis,” katanya hari ini.
Selain itu, kata Dr. Mahathir, proses penggubalan undang-undang ketika dahulu perlu mengikut prosesnya, namun, sekarang, sikap Perdana Menteri melalui lisannya dianggap sebagai undang-undang baharulah polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak.
Katanya, kerajaan boleh membuat tuduhan tidak berasas dan menyiasat, manakala rakyat yang tidak bersalah boleh dipaksa mengisytihar pendapatan dan perbelanjaan dan yang ingkar boleh didenda dan dipenjara.
“Tekanan boleh dibuat oleh kerajaan tanpa sebab supaya punca kekayaan dijelas. Harta boleh ditahan sehingga menjadi tekanan ke atas pemilik. Tahanan harta tidak terhad masa. Pasport boleh dirampas.
“Siasatan boleh ambil masa yang panjang sehingga perbicaraan bertahun-tahun lamanya. Keadilan tertangguh adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.
Katanya, kerajaan sudah menjadi ‘abang besar’ yang akan menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan rakyat.
“Apa yang kita boleh kata, dan apa yang tak boleh cakap. Sudah tentu tidak boleh sentuh apa-apa yang Kerajaan tidak suka,” katanya.
Kata Dr. Mahathir, banyak lagi sekatan dibuat kerajaan yang menunjukkan kebebasan kerajaan dan menidakkan kebebasan dan kemerdekaan rakyat.
Katanya, kerajaan boleh menghentikan perbicaraan penjenayah yang dituduh dan kesalahan yang besar mungkin dikurangkan atau dibebaskan, sedangkan kesalahan kecil pula dipenjara.
“Media sosial juga disekat. Tidak akan ada kebebasan dijanji. Jadi siapa yang menikmati merdeka atau kebebasan? Yang menikmati merdeka ialah kerajaan.
“Apakah yang rakyat rayakan pada hari merdeka? Apakah rakyat rayakan kerajaan yang merdeka dan rakyat yang tidak merdeka?,” soalnya. – UTUSAN










