KUALA LUMPUR: Kumpulan Imsomniacks mendedahkan bahawa penganugerahan bukan menjadi satu sasaran kepada mereka dalam menghasilkan sesuatu karya.
Menurut pemain bass Imsomniacks, Iskandar, mereka tidak menetapkan anugerah sebagai satu pencapaian di dalam karier kumpulan itu.
“Setiap artis sememangnya memerlukan anugerah tetapi dengan mengatakan anugerah untuk menunjukkan anda berjaya, saya rasa tidak perlu.
“Banyak lagi cara lain yang kami boleh tunjukkan bahawa kami berjaya,” katanya.
Kumpulan itu ditemui ketika sidang media pelancaran album Teman EP baru-baru ini.
Selain itu, vokalisnya, Iqie berkata, dalam penghasilan naskah musik, mereka lebih cenderung untuk membuatnya untuk peminat.
“Kami menulis lagu sebab kami rasa lagu itu akan memiliki istimewanya yang tersendiri.
“Oleh itu, kami selalu fikirkan orang yang akan dengar lagu ini, apa peminat akan rasa bila dengar lagu ini.
“Apa yang membuatkan kami puas adalah apabila siap lagu itu, kami keluarkan dan mereka (peminat) suka serta kami boleh buat persembahan untuk mereka,” jelasnya.
Perkembangan lain, Imsomniacks telah melancarkan album ketiga bertajuk Teman EP yang telah bertemu peminat sejak 9 Ogos lalu.
Album itu mempunyai lapan buah lagu dan turut menampilkan lagu baharu bersama artis baharu dari indonesia, Nabila Taqiyyah.-UTUSAN










