SIK: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sempat membisikkan dua kalimah syahadah kepada pelajar yang maut dihempap pokok ketika dalam perjalanan ke sekolah, pagi tadi.
Rizaidi Saad berkata, ketika kejadian pada pukul 7.20 pagi, dia dalam perjalanan ke tempat kerja dan ternampak mangsa, Muhammad Assif Md. Zahid, 17, terbaring di tengah jalan di Kampung Charuk Sireh, di sini.
“Ketika menghampirinya, mangsa dalam keadaan agak lemah dan berdarah di bahagian kepala serta luka di bahagian badannya. Saya berulang kali membisikkan dua kalimah syahadah di telinganya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Rozaidi, keadaan jalan raya ketika itu masih basah setelah hujan tetapi tiada angin yang bertiup kuat pada waktu itu.
“Mangsa menunggang motosikal seorang diri dengan berpakaian sukan ketika kejadian. Bapa mangsa yang tiba tidak lama kemudian meminta untuk mengangkat anaknya untuk dibawa ke Hospital Sik sementara menunggu ambulans.
“Saya mengambil sehelai kain untuk membalut tubuh mangsa sebelum mengangkatnya masuk ke dalam kereta dan saya lakukannya dengan berhati-hati bagi mengelak kecederaan yang dialami mangsa lebih teruk.
“Sebenarnya orang awam tidak boleh mengangkat mangsa kemalangan sesuka hati tetapi atas permintaan bapanya, saya terpaksa lakukan juga dan menemani bapa mangsa sehingga ke hospital,” katanya. -UTUSAN










