Anak muda kita semakin hilang jati diri – Ashraf Muslim - Utusan Malaysia

Anak muda kita semakin hilang jati diri – Ashraf Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sedikit kegusaran dan kehampaan di hati pelakon, Ashraf Muslim tatkala bercerita mengenai personaliti dan gelagat anak-anak muda masa kini.

Secara peribadi, pelakon yang juga berpangkat Leftenan dalam pasukan Askar Wataniah ini berpendapat, ramai kalangan generasi muda kelihatan ‘manja’ selain kurang memahami tanggungjawab mereka terhadap negara.

Daripada kaca mata Ashraf, antara punca utama adalah ketirisan jati diri yang sepatutnya perlu ada dan kuat menyatu dalam setiap individu dan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun entah mengapa, perkara itu seakan dipandang enteng oleh anak muda menyebabkan negara kekurangan pelapis atau generasi yang sepatutnya menjadi harapan negara pada masa akan datang.
“Tak semua, tetapi ramai yang saya tengok ‘manja’ dan ‘lembik’. Ini bukan tentang kelemahan fizikal, tetapi dari aspek mental.

“Keupayaan dan kekuatan mental memainkan peranan penting dalam menghadapi situasi krisis. Sebagai contoh, zaman sekarang, ramai anak muda yang cepat melenting di media sosial tentang sesuatu perkara.

“Kadang-kadang saya kasihan tengok mereka dan terfikir bagaimana nak membantu atau mengajar mereka. Malah, jati diri kita sebagai orang Malaysia ini pun makin berkurangan. Kalau ditanya kepada mereka, andai terjadi apa-apa masalah pada negara, atau sesuatu isu, ramai yang tak kisah.

“Yang lebih membuatkan mereka berasa tertarik adalah isu-isu sensasi,”katanya.

Tidak menolak bahawa ramai kalangan anak muda kurang memahami identiti dan budaya negara, Ashraf menganggap generasi baharu perlu dididik dengan disiplin dan kepentingan untuk memelihara jati diri, adab, bahasa dan warisan bangsa supaya tidak terus ditelan zaman.

“Bahasa pun salah satu warisan kita. Kalau tengok bahasa sekarang, banyak yang semakin pelik, ada perkataan yang tidak sesuai dipertuturkan.

“Saya yakin, jika lebih ramai generasi muda kita ini dapat menyertai pasukan Wataniah, perkara-perkara berbangkit ini dapat diubah melalui penerapan disiplin dan kefahaman mengenai jati diri anak Malaysia,”katanya.

Menurut Ashraf, menjadi sebahagian daripada pasukan Wataniah bukan sekadar mampu membentuk karakter seseorang, tetapi dapat memahami kepentingan peranan masing-masing dalam membantu sistem pertahanan negara.

“Apa yang penting, macam mana karakter awak sekali pun, sekurang-kurangnya apabila awak menyertai Askar Wataniah, awak sudah berada dalam sebuah sistem. Jadi, apa pun yang berlaku di masa hadapan, seperti darurat atau peperangan, kita akan tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sekiranya kita tidak mulakan sekarang, bila lagi? Kadang-kadang, apabila bertanya kepada orang ramai tentang Wataniah, ada yang tak tahu pun apa itu Wataniah. Ia membuatkan saya rasa tercabar selain menunjukkan perlunya pendedahan yang lebih luas mengenai pasukan ini dan kepentingannya.

“Saya mahu orang ramai faham bahawa Wataniah bukan tentera tetap tetapi sukarela yang turut mempunyai tanggungjawab untuk membantu negara,” ujarnya.

ILMU PERTAHANAN
Pada masa yang sama, pelakon berasal dari Melaka ini berkata, dia juga mengambil tanggungjawab untuk memperluaskan lagi pendedahan mengenai pasukan Wataniah kepada orang ramai dalam usaha menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Semua itu atas objektif yang sama, mahu meningkatkan jati diri setiap anak Malaysia dan membentuk keperibadian yang lebih kuat, sesuai dengan harapan melahirkan generasi lebih berdaya tahan di masa hadapan.

“Bukan sahaja untuk golongan muda, tetapi juga bagi mereka yang berusia 30-an hingga 40-an, saya galakkan untuk sertai.

“Walaupun kita bukan tentera tetap, sekurang-kurangnya setiap daripada kita perlu mengetahui asas-asas pertahanan. Dalam situasi yang tidak dijangka, seperti serangan siber, kita tidak boleh bergantung hanya pada tentera tetap.

“Setiap individu boleh menyumbang dalam pelbagai cara dan bentuk tanpa perlu mengangkat senjata. Contohnya, semasa Covid-19 sebelum ini, banyak individu yang bukan anggota tentera turut menyumbang dalam menjaga keselamatan masyarakat. Ini yang kita mahukan,”katanya.

Selain itu, kata Ashraf, menyertai Askar Wataniah juga bukan sekadar menimba pengetahuan mengenai pertahanan, tetapi juga tentang tanggungjawab masing-masing sebagai rakyat Malaysia.

“Melalui latihan ini, kita mempersiapkan diri untuk masa depan yang tidak dapat diramalkan dan memastikan setiap individu tahu apa yang perlu dilakukan apabila diperlukan.

“Malah saya percaya, sedikit demi sedikit, kebimbangan kita mengenai ketirisan jati diri di kalangan anak muda itu dapat diperbaiki.

“Bila mereka dapat kuasai disiplin yang tinggi, di situ mereka dapat lihat dan rasakan perubahan diri yang mana, daya tahan mereka dari aspek fizikal dan mental nyata berbeza daripada sebelumnya,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN