LOS ANGELES: Kumpulan rock terkenal, Aerosmith pada hari ini mengejutkan peminat seluruh dunia apabila mengumumkan persaraan daripada persembahan pentas selepas lebih lima dekad ditubuhkan.
Band yang masyhur dengan lagu Dream On dan I Don’t Want To Miss A Thing itu mengambil keputusan tersebut disebabkan kemerosotan kesihatan vokal penyanyi utamanya, Steven Tyler.
“Penghormatan buat kami apabila muzik kami menjadi sebahagian kehidupan anda. Di setiap kelab, persembahan mega, anda telah menyediakan ruang buat muzik-muzik kami untuk menapak dalam hati anda.
“Seperti yang anda semua ketahui, suara Steven adalah instrument yang tiada duanya. Dan dia telah berusaha berbulan-bulan lamanya untuk memulihkan keadaan suaranya yang sebelum ini mengalami kecederaan.
“Kami menyaksikan bagaimana dia bergelut untuk pulih meskipun mendapat bantuan daripada pasukan medikal terbaik yang berada di sampingnya sepanjang proses tersebut.
“Namun amat mendukacitakan apabila kami mengetahui pemulihan secara menyeluruh daripada kecederaan yang dialaminya menjadi perkara yang mustahil berlaku. Disebabkan itu, kami sepakat mengumumkan persaraan kami daripada melakukan konsert jelajah,” jelas band tersebut di Instagram.
Aerosmith yang pada awalnya dianggotai Steven Tyler, Joe Perry dan Ray Tabano (gitar), Tom Hamilton (bass) dan Joey Kramer (dram) ditubuhkan pada tahun 1970.
Barisan keanggotaan band tersebut mengalami perubahan apabila peranan Tobano digantikan Brad Whitford pada tahun 1971.
Kumpulan itu mencipta kejayaan menerusi penghasilan 15 album, 9 album live, dan 17 album kompilasi.
Terdahulu, Steven mengumumkan kecederaan vokal dialaminya ketika melakukan persembahan konsert jelajah kumpulan itu yang bermula September 2023. Konsert yang dijadualkan berakhir pada Februari tahun depan itu dibatalkan serta merta selepas pengumuman pagi tadi.
Meskipun kecewa dan berdukacita, peminat tidak melepaskan peluang menulis penghargaan dan ucapan terima kasih mereka kepada kumpulan yang menghiburkan sejak lebih lima dekad lalu itu.
“Saya akan sentiasa menyayangi anda semua. Terima kasih untuk muzik yang bagus yang akan hidup selamanya,” tulis pengguna akaun Instagram, themikegemini.
“Terima kasih untuk segalanya Aerosmith,” luah maxichielli.










