KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengahari tadi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di laman sosial Facebooknya, sebentar tadi.
“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mahkota, YB Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
“Pemergian Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi.
Jasa dan bakti beliau untuk Negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah,” katanya.
Terdahulu, Sharifah Azizah dimasukkan ke hospital sejak kelmarin akibat pendarahan dalaman.
Allahyarhamah juga merupakan ketua Wanita UMNO Kluang, bekas ketua Wanita UMNO Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada PRN 2022.- UTUSAN










