AADK perlu jadi sahabat rujukan klien, penagih dadah

AADK perlu jadi sahabat rujukan klien, penagih dadah

SHAMSUL ANUAR Nasarah menyantuni klien dan keluarga klien sempena Program Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama klien dan keluarga klien di Pulau Setelu, Gua Musang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak khususnya mereka yang tersalah langkah terlibat dengan aktiviti penagihan atau penyalahgunaan dadah diseru menjadikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai sahabat yang perlu dirujuk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu bagi menjadikan agensi tersebut sebagai tempat rujukan utama jika berhadapan dengan masalah membabitkan bahan terlarang itu.

Kata beliau, usaha itu juga selari dengan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini menerusi perubahan terhadap dasar pengalihan pemenjaraan kepada rawatan dan pemulihan.

“RUU yang diluluskan ini juga turut mengetengahkan elemen penagih bukan lagi penjenayah, sebaliknya pesakit yang perlu diberi rawatan dan pemulihan.

“Sehubungan itu, AADK adalah agensi tunggal yang menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan.

“Maka jadikanlah AADK sebagai sahabat atau teman yang boleh menjadi rujukan dan tempat mendapatkan khidmat nasihat tentang penagihan atau penyalahgunaan dadah serta bahan,” katanya dalam program Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama klien dan keluarga klien di Kampung Pulau Setelu, Gua Musang, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, program ini diadakan bertujuan memberi galakan kepada klien untuk berjaya dalam semua aspek kefungsian diri, membentuk dan meningkatkan keyakinan diri klien dalam usaha pengekalan kepulihan sepanjang hayat.

“Selain itu, program berkenaan dilihat dapat merapatkan hubungan antara klien dan komuniti setempat dalam menyediakan ruang kepada sistem sokongan untuk pengekalan kepulihan.

“Program itu juga mampu memberi galakan dan suntikan semangat kepada ibu bapa atau ahli keluarga dalam usaha menzahirkan sokongan kepada anak-anak atau ahli keluarga yang terlibat dalam penagihan atau penyalahgunaan dadah dan bahan untuk terus kekal dalam pemulihan,” ujarnya.

Dalam program ini, seramai 100 klien yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) AADK termasuk keluarganya yang tinggal di kawasan sekitar diraikan dalam majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN